Friday, April 16, 2010

doa utk kekasih


Ya Allah…
Seandainya telah Engkau catatkan…
Dia milikku tercipta buatku…
Satukanlah hatinya dengan hatiku…
Titipkanlah kebahagiaan antara kami…
Agar kemesraan itu abadi…

Ya Allah…
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihani…
Seringkanlah kami melayari hidup ini…
Ketepian yang sejahtera dan abadi…
Maka jodohkanlah kami…

Tetapi Ya Allah…
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku…
Bawalah dia jauh daripada pandanganku…
Luputkanlah dia dari ingatanku…
Dan periharalah aku dari kekecewaan…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak bayangannya jauh ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun tanpa bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…

Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku…
Di dunia dan akhirat…
Dengarkanlah rintihan daripada hamba-Mu yang daif ini…
Jangan Engkau biarkan aku sendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku ke arah kamaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah kepadaku keturunan yang soleh dan solehah…

Ya Allah…
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat…
Dan periharalah kami dari azab api Neraka…

Amin…amin…Ya rabbal ‘aalamin.

Monday, April 5, 2010

tip mengekalkan hubungan

1. Sayangi dia dengan hati, bukan dengan perasaan. Jika anda meletakkan sesuatu perhubungan berdasarkan perasaan, ianya akan gagal kerana perasaan sentiasa berubah dari masa ke semasa.

2. Sayangi dia seadanya. Di dunia terdapat hampir 6 billion manusia dengan 6 billion personaliti. Dia sememangnya seorang yang istimewa dan biarkan ianya kekal begitu. Jangan sesekali terfikir untuk mengubah apa-apa tentang dia kerana sekali anda mengubah, selamanya anda akan terus mengubah dirinya. Tentu anda masih ingat, anda terpikat padanya kerana dia adalah dia. Maka, tiada alasan untuk anda mengubah dia untuk menjadi seseorang yang lain.

3. Sayangi dia sepenuh hati. Sesungguhnya dia telah banyak bekorban untuk anda. Dengan kelebihan yang ada padanya, dia berpeluang untuk menjalin hubungan dengan seseorang yang lebih sempurna tapi demi cinta, dia telah memilih diri anda. Maka, jangan sesekali cuba untuk mempermain-mainkan keluhuran cintanya.

4. Hormati pendirian dan keputusan dia. Jangan anda merayu dan jangan mencipta alasan supaya dia menerima cinta anda kerana kelak, yang anda akan dapat darinya hanyalah cinta simpati dan bukannya cinta setulus hati.

5. Yakinkan diri anda akan keistimewaan dia. Dia adalah satu-satunya di dunia ini dan jangan mengharapkan kesempurnaan dari dia kerana dia telahpun cukup sempurna semenjak anda mula terpikat padanya.

6. Percaya akan dirinya. Sentiasa bersangka baik padanya jika kita juga mahukan sebegitu darinya. Pastikan anda akan sentiasa meletakkan diri anda di tempatnya sebelum melakukan apa-apa. Jika anda sendiri tidak dapat menerimanya, apatah lagi dia.

7. Jangan berjanji menyayangi dia untuk selama-lamanya kerana selama-lamanya bagi anda mungkin akan berakhir keesokkan harinya, tapi berjanjilah untuk menyayangi dirinya seolah-olah setiap hari itu adalah hari yang terakhir untuk anda berdua.

8. BERCINTA dengannya adalah seperti memberi hati anda kepadanya untuk dilukai tapi kepercayaan itu penting. Percayalah kepadanya, nescaya dia akan melindunginya sepenuh jiwa dan raga.

9. Jangan sesekali meninggalkan dia tanpa sebarang alasan. Dia bukan hanya akan setakat menangis kecewa dan kemudiannya meneruskan hidup seperti biasa, ketahuilah bahawa jiwanya akan mati secara perlahan.

10. Jangan cepat berbangga dengan diri anda, memenangi hatinya bukanlah satu kejayaan yang mutlak tetapi anugerah itu hanya layak anda perolehi setelah anda berjaya menyayanginya sehingga ke akhir hayat. Ketahuilah, dia memilih anda adalah kerana dia percaya bahawa anda adalah seorang yang jujur dan akan menepati janji. Anda telah bersusah payah dan berusaha sedaya upaya untuk memenangi cintanya, maka dengan itu haruslah juga anda berusaha untuk terus menyintai dirinya dengan apa jua keadaan sekalipun

jodoh pilihan @ takdir

Apabila memperkatakan soal jodoh atau pasangan timbullah persoalan:
apakah jodoh atau pasangan itu dipilih atau ia penentuan takdir
semata-mata? Berbagai telahan diberikan ada yang mengatakan bahawa jodoh
itu, ketentuan Allah dan manusia perlu akur dengan kehendak-Nya dan ada
pula yang mengatakan pasangan itu perlu dipilih di cari dan diselidiki
ia bukannya penentuan takdir semata.

Sebenarnya, manusia dikehendaki berikhtiar untuk mendapat sesuatu dan
Allah memberikan ikhtiar itu kepada manusia. Menerima takdir semata-mata
bukanlah bererti menunggu tanpa ada usaha untuk mendapatkannya, untuk
mendapatkan sesuatu ia mestilah diusahakan kemudian barulah menyerahkan
segalanya untuk takdir menentukan sama ada baik atau buruk juga berjaya
atau tidak. Begitu juga dengan jodoh, walaupun Allah S.W.T sudah
menentukan siapakah bakal pasangan seseorang, namun usaha untuk
mendapatkan yang terbaik tidak boleh diabaikan.

Dalam soal pasangan ini, Islam tidak membiarkan manusia bertindak
sendiri kerana soal pembinaan rumahtangga bukanlah sesuatu yang boleh
dianggap remeh. Oleh yang demikian Islam memberikan beberapa garis
panduan kepada manusia untuk membina rumahtangga dan keluarga yang
bahagia dan ini termasuklah panduan dalam memilih pasangan yang sesuai.

Setiap orang ingin memiliki isteri atau suami yang boleh membahagiakan
rumahtangga. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam satu
hadisnya yang masyhur bermaksud:


"Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara. Kerana hartanya, kerana
keturunannya, kecantikannya dan kerana keagamaannya. Maka utamakanlah
yang beragama nescaya kamu mendapat kebahagiaan".

Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w menjelaskan tentang ciri-ciri yang
biasanya menjadi asas pertimbangan dalam memilih isteri. Walau bagaimana
pun Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa ciri keagamaanlah yang perlu
diutamakan dalam melakukan pemilihan.

Penegasan terhadap keutamaan ini dapat dilihat dengan jelas dalam ayat
al-Quran yang bermaksud:

"Maka wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara
diri di belakang suaminya oleh kerana Allah telah memelihara mereka".
Perkara ini perlu ditekankan kerana isteri yang mempunyai pegangan agama
yang kuat akan sentiasa taat kepada suaminya dan akan sentiasa
memelihara kehormatan dirinya.

Namun begitu nilai-nilai atau ciri-ciri lain tidaklah ditolak dalam
menentukan pilihan, kerana ia merupakan unsur pelengkap kepada
kebahagiaan rumahtangga. Ciri-ciri seperti kecantikan merupakan
pendorong kepada kemesraan dan juga kecintaan suami terhadap isteri.

Apabila suami memandang isterinya yang cantik maka timbullah perasaan
kasih dan cinta yang mendalam dan ini akan menjaga pandangan suami dan
seterusnya ia akan melengkapkan lagi tuntutan daripada perkahwinan itu
sendiri. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w ketika ditanya mengenai
perempuan yang disifatkan baik, Rasulullah menjawab:

"Perempuan yang mengembirakan suaminya apabila dipandang mematuhi
suaminya apabila disuruh dan tidak membantah suaminya samada tentang
diri atau harta". Dalam satu hadis yang lain Baginda bersabda bermaksud:


"Sebaik-baik isteri ialah yang tercantik rupa parasnya dan ringan
maharnya". Di samping itu Rasulullah s.a.w memperingatkan tentang
keburukan mengutamakan pemilihan pasangan berdasarkan ciri-ciri
kecantikan, harta dan kedudukan atau keturunan semata-mata. Antaranya
hadis Baginda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengahwini seseorang
perempuan semata-mata kerana kemuliaannya, Allah tidak memberinya
apa-apa pertambahan kecuali kehinaan.

"Sesiapa yang mengahwininya kerana harta, Allah tidak akan menambahkan
kepadanya kecuali kemiskinan. Sesiapa yang mengahwininya kerana
kedudukan keluarganya Allah tidak akan menambahkan kepadanya kecuali
kehinaan.

"Tetapi barangsiapa yang mengahwini perempuan bukan dengan tujuan yang
lain melainkan untuk mengawal dan menjaga pandangan atau penglihatannya
dan menjaga kehormatannya atau dengan tujuan menghubungkan silaturrahim
Allah akan memberkati ke dua-dua lelaki dan perempuan". (Hadis riwayat
Ibn Hibban)

Antara ciri-ciri lain yang diutamakan dalam pemilihan pasangan ialah
berpotensi untuk melahirkan zuriat yang ramai kerana zuriat akan menjadi
penyumbang kepada kebahagiaan rumahtangga dan lambang kasih sayang suami
isteri.

Di samping itu ia menjadi aset yang paling besar kepada umat Islam
sebagai penyambung kepimpinan dan penguasaan di dunia ini. Dalam hal ini
Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Kamu kahwinilah perempuan yang penyayang dan boleh melahirkan anak yang
ramai kerana aku bangga dengan umatku yang ramai di hari Akhirat kelak".


Begitu juga pasangan yang dipilih itu hendaklah tidak terdiri dari
kerabat yang dekat. Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung
silaturrahim, memperkembangkan masyarakat, mempereratkan hubungan sesama
manusia dan mengelakkan terjadinya sikap perkauman kerana itulah Islam
menggalakkan perkahwinan itu terjadi antara orang yang bukan di kalangan
kaum kerabat.

Rasulullah sendiri bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kamu berkahwin dengan sanak saudara kerana ia akan melahirkan
anak yang berbadan kurus, lemah dan kurang mampu berfikir".

Begitupun ciri-ciri ini bukan sahaja digunakan untuk menentukan calon
isteri, malah tidak sedikit hadis-hadis yang memperkatakan tentang calon
suami. Antaranya sabda Rasulullah dalam nasihatnya kepada wali (penjaga
bagi anak perempuan) yang bermaksud:

"Apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan akhlaknya
datang melamar (anak kamu) maka kahwinkanlah dia. Jika kamu enggan
fitnah dan keburukan akan terjadi di dunia ini. Lalu orang ramai
bertanya: Ya Rasulullah, kalaupun dia seorang yang kafir dan tidak
berada?

Jawab baginda, Apabila seseorang yang kamu yakini tentang keagamaan dan
akhlaknya datang melamar maka kahwinkanlah dia (dan Rasulullah
menyebutnya hingga tiga kali)". Hadis di atas jelas sekali mementingkan
ciri atau aspek keagamaan dan akhlak dalam pemilihan.

Namun begitu sebagaimana lelaki diberikan hak untuk menentukan pasangan
maka, wanita juga tidak dinafikan haknya dalam memilih, malah
aspek-aspek seperti keturunan, rupa paras dan harta benda juga menjadi
ciri asas kepada pertimbangan pemilihan selain keutamaan diberikan
kepada ciri keagamaan dan akhlak.

Antara hadis Rasulullah dalam hal-hal seperti ini ialah penerimaan
Rasulullah terhadap penolakan Barirah untuk terus bersama suaminya yang
masih hamba sedangkan dia sendiri sudah dimerdekakan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Hai Abbas, tidakkah kamu kagum dengan
kecintaan Mugith terhadap Barirah dan kebencian Barirah terhadap Mugith?
Alangkah baiknya jika Barirah menerima Mugith kembali." Kata Barirah:

"Ya Rasulullah, apakah kamu menyuruh saya berbuat demikian?" Jawab
Baginda: "Saya hanya mahu membantu". Barirah menjawab: Kalau begitu saya
tidak lagi memerlukannya".

Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w mengakui bahawa aspek kedudukan dan
keturunan menjadi pengukur kepada pemilihan pasangan kerana itulah
Rasulullah menerima penolakan Barirah terhadap Mugith kerana dia sudah
merdeka sedangkan Mugith masih hamba.

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w juga mengakui bahawa aspek atau
ciri kecantikan atau rupa paras juga menjadi pengukur untuk menerima
pasangan dengan sebab itu Rasulullah menerima pemutusan ikatan
perkahwinan atas sebab keburukan rupa paras. Ibnu Abbas telah
meriwayatkan dalam suatu hadis yang bermaksud:

"Cerai khulu' yang pertama sekali dalam Islam ialah kes saudara
perempuan Abdullah bin Ubai. Dia telah datang kepada Rasulullah dan
berkata: "Wahai Rasulullah! Saya tidak akan bersatu dengannya (suami
yang dikahwininya) buat selama-lamanya.

"Sesungguhnya apabila saya menyelak sebahagian daripada khemah saya
melihat dia dalam satu angkatan. Saya dapati dialah yang paling hitam,
paling pendek dan paling hodoh mukanya dalam angkatan itu." Kata
suaminya: "Wahai Rasulullah, saya telah memberikan kepadanya (Isteri)
sebaik-baik harta, iaitu sebuah kebun kalau dia memulangkan kembali
kebun itu kepadaku!"

Sabda Rasulullah s.a.w kepada perempuan itu: "Apa pandangan kamu?" Maka
jawabnya: "Ya, malah kalau dia mahu, saya boleh tambah lagi." Maka
Rasulullah lalu memisahkan antara keduanya.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa sebab kepada perpisahan itu ialah
penolakan isteri terhadap rupa paras suaminya yang buruk. Antara aspek
lain yang juga diambil kira dalam pemilihan suami ialah kesihatan tubuh
badan.

Dalam hal ini para Fuqaha bersepakat memberikan hak kepada isteri untuk
memohon fasakh jika didapati suami mempunyai penyakit yang boleh
menghalang terlaksananya hubungan suami isteri.

Antara matlamat pensyariatan perkahwinan ialah untuk menyalurkan naluri
kemanusiaan melalui jalan yang disyaratkan dan jika matlamat ini tidak
dapat dipenuhi, peruntukan fiqh memberikan jalan keluar dengan
mensyariatkan fasakh.

Begitu juga soal umur, ia juga diambil kira malah perkahwinan dengan
lelaki atau perempuan yang lanjut usia dianggap makruh. Ini kerana
sebahagian daripada matlamat perkahwinan itu iaitu untuk menyalurkan
naluri kemanusiaan kemungkinan tidak akan dapat ditunaikan secara baik.

An Nasa'i meriwayatkan Abdullah bin Umar menceritakan bahawa ayahnya
berkata: Abu Bakar dan Umar r.a telah meminang Fatimah. Rasulullah s.a.w
lalu berkata: "Dia masih kecil".

Kemudian anaknya dipinang oleh Ali. Baginda lalu mengahwinkan Fatimah
dengan Ali. Dalam riwayat di atas penolakan Rasulullah terhadap Abu
Bakar dan Umar bukanlah kerana sesuatu sebab yang tidak baik yang ada
pada mereka tetapi hanya kerana umur mereka yang terlalu jauh
dibandingkan dengan umur Fatimah.

Walau bagaimana pun, jika soal agama dan akhlak menjadi kayu ukur dalam
pemilihan isteri begitu juga dalam pemilihan calon suami, aspek tersebut
tetap diutamakan dan nilai atau ciri-ciri lain diambil kira setelah asas
agama dan akhlak dipenuhi.

Penutup Ideal atau realistiknya panduan yang diberikan oleh Islam dalam
pemilihan pasangan bukanlah menjadi sebab kepada penolakan tuntutan
perkahwinan. Islam tidak bertujuan untuk menyempitkan laluan ke arah
perkahwinan, cuma jika syarat-syarat ini dipenuhi, Islam menjanjikan
suatu suasana yang harmonis dan kebahagiaan yang didambakan oleh
sebahagian besar pasangan yang berumahtangga.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

perjalanan kami.....

Daisypath Friendship tickers

kata2 nye utk ku

keikhlasan membentuk cinta!!!!

fatien>nasz...4rever lurve [n_~]

gaya kami berdua....

gaya kami berdua....