Thursday, September 30, 2010

Bingkisan Buat Permata Hatiku

Assalamualaikum wbt,
Kehadapan ibuku yang juga permata hatiku..
ku titipkan bingkisan ini dari kejauhan,
meluahkan bicara yang terpendam yang aku sendiri tak mampu ucapkan.

Pagi itu aku bangun, kulihat ibu masih lagi sedang asyik sujud mengadapNYA, lalu lenaku bertandang kembali, seketika kemudian aku terjaga lagi, ku lihat ibu masih lagi tenang dalam solatmu. Ibuku, kebahagian bukan selalunya menjadi milik kita, tetapi aku lihat ibu terlalu tenang menghadapi ujianNYA.

Ibuku,
Seandainya ku diberi pilihan, longgokan permata disogokkan aku tetap memilih kamu sebagai pilihan utamaku. Kau idolaku ibu, aku melihat kau sentiasa cekal dalam dugaanNYA, aku lihat raut wajahmu sentiasa tenang, tapi aku tahu bicara hatimu, kau terluka ibuku, tapi kau tak mahu tunjukkan kepadaku, kau menangis ibuku, tapi kau menangis dalam jiwamu, dalam hatimu.
Aku hidup hari ini keranamu ibuku, aku tabah hari ini kerana semangatmu sayangku. Pernah dulu ku putus semangat, asaku tenggelam dek kejian mereka, tapi bilaku terkenangkan ibu, semangatku tersambung, aku perlu hidup untuk ibu, aku perlu kuat untuk ibu, terfikir aku seketika,
seandainya tuhan menginginkan aku dahulu,
siapa yang akan menjaga ibu?
Siapa yang akan membela nasibmu kasihku?
Siapa yang akan menyinari hari tuamu ibu?

Ibu,
Dengan kudratmu yang tak seberapa, kau membanting tulang, menyaraku, memerah keringatmu mencari rezeki yang halal disaat seorang lelaki yang sepatutnya kau jadikan dahan tempatmu bergantung menghilangkan diri. Aku melihat ibu begitu bersahaja, mengutip kotak-kotak kosong, tin-tin kosong, bahan buangan orang yang ibu rasa terlalu berharga, Dengan rezeki yang orang pandang kotor itulah ibu mengisi perutku, menghilangkan laparku, meneruskan hayatku. Ibuku terus terang dari hati aku berbicara, aku tak pernah malu punya ibu sepertimu, malah aku bangga ada ibu yang kuat dan tabah. Ibuku, aku menangis melihat deritamu, aku pilu melihat dukamu, tapi aku perlu menjadi kuat didepanmu agar aku mampu menjadi semangatmu. Tidak sekali aku benarkan air mataku ini tumpah dihadapan ibu.

Ibuku,
21 tahun hidupku kini, inginku singkapkan bait-bait perjalananku, menyingkap duka yang lebih banyak hadir dari gembira. Namun aku tak pernah, malah takkan sekali-kali menyalahkan ibu atas apa yang terjadi. Kau wanita yang terlalu mulia untuk dibebankan dengan silap. Aku tahu kau jua tak inginkan benda ini terjadi dalam keluarga kita kan? Aku tahu impianmu sentiasa ingin melihatku bahagia kan? Aku renung matamu, aku lihat sinar harapan yang tak pernah padam terletak disitu. Setiap kali ku berkesempatan pulang, sering kali kucuri waktu untuk menatap wajahmu wanita kesayanganku, aku lihat wajahmu lebih tua dari usia, mungkin beban yang kau tanggung terlalu berat. Ibuku aku ingin menjadi semangatmu, menjadi dahanmu kini, sebab aku rasa aku sudah semakin dewasa untuk bersamamu mengharungi dugaan yang mendatang.

Ibu,
Aku ingat lagi peristiwa kira-kira 6 tahun yang lalu, pertama kali aku lihat ibu membentak kasar, melenting marah, terkejut aku, terpana aku seketika ibu semuanya sebab apabila seorang saudara kita membawa khabar, memburukkan ayah dihadapan ibu kan? Dari itu terbit kagumku ibu, walaupun ayah bukan suami yang baik, tak pernah ada bicara buruk terlahir dari bibirmu tentang ayah. Malah ibu akan begitu marah bila ada orang memburukkan ayah. Betapa beruntungnya ayah punya ibu sebagai isteri, betapa bertuahnya ayah. Wanita sebaikmu sepatutnya tak perlu harungi hidup ini dengan bertemankan air mata kan ibu? Tapi apa dayamu kan? Aku percaya ibu satu hari nanti akan ada sinar bahagia hadir untukmu ibu.

Ibu,
Teringat satu peristiwa yang selama hayat aku takkan lupa. Tika itu usiaku 13 tahun, entah mana silapnya, aku diserang gastrik, waktu itu lebih kurang pukul 3 pagi. Aku mengerang kerana sakit yang teramat, aku tak sangka erangan itu mengganggu lenamu ibu, Maafkan aku ibu, ibu bangun dalam kepayahan, sedangkan aku tahu ibu baru sahaja diulit lena, dengan matamu yang berat, yang separuh terbuka, kau mengurutku, menenangkanku, sehingga sakitku reda, sehingga lenaku bertandang. Terima kasih ibu.

Ibuku,
Pertama kali dalam hayatku aku melihat air mata abang tumpah kerana ibu, setahu aku abang lelaki yang kuat, pandai menyembunyikan rahsia hati dengan bicara lembutnya, semuanya gara-gara ibu yang diserang athma secara tiba-tiba, sedangkan waktu itu ubat ibu habis. Ya ALLAH, betapa risaunya hatiku tika itu ibu, aku belum puas merasai kasihmu ibu, aku belum sempat mencurahkan baktiku padamu ibu, Alhamdulillah Dia mendengar doaku ibu, dalam linangan air mata aku memohon berilah ibu peluang merasai bahagia seperti orang lain, dalam sedu sedan aku berdoa jangan ibu tinggalkan aku disaat aku masih belum bersedia.

Ibu,
UjianNYA tak pernah putus-putus hadir menguji cekalku ibu, ibu setelah hampir 4 tahun aku memendam, hari ini aku bersedia mencurahkan setelah aku betul-betul bebas dari persoalan yang membuat hidupku gelap seketika. 8 julai 2005 adalah tarikh yang terlalu perit dalam hidupku ibu, doctor menyatakan jantungku bermasaalah ibu dan yang paling perit ibu, aku takkan mampu hidup lama disisimu ibu. Mana mungkin aku meninggalkan wanita kesayanganku ini sedangkan aku satu-satunya hawa dalam zuriatmu.

Ibu,
Hanya tuhan yang tahu betapa berkecai harapanku tika itu ibu, berkali-kali doktor memujukku agar aku bawa ibu untuk berbincang pasal rawatan penyakitku ibu, tapi aku enggan, aku tak mahu menambahkan, mencarikkan, menggariskan lagi derita dalam hidupmu ibuku sayang. Aku bertekad ibu, akanku harungi sendiri deritaku ibu, aku ingin hadiahkan bahagia sebelum hayatku berakhir ibu. Memang ku akui kesihatanku terjejas, dadaku sering sakit, jika dulu aku sentiasa juara di trek bila acara sukan sekolah, tapi kini trek sejauh 1500m pun aku tak mampu sudahi. Lemahnya aku tika itu ibu. Namun segalanya berubah ibu, dan aku jua percaya pada kuasaNYA yang sentiasa mendengar bingkisan doaku ketika dalam akhir sujudku, ketika dalam solat hajatku. Awal tahun 2006 apabila wangku mencukupi hasil dari tabunganku bekerja disebuah kilang, sekali lagi aku menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta, Alhamdulillah ibu, kuasa tuhan melebihi segalanya ibu, aku hampir tak percaya, tapi hasil x-tray menunjukkan jantungku sihat, ajaib ibu, tapi itu anugerah yang terindah untuk aku ibu, syukran ya ALLAH kerana beri aku peluang untuk terus menemani ibu didunia ini. Aku sujud syukur ibu. Aku rasa macam dilahirkan semula ibu diberikan nyawa ke dua.

Bait bingkisan ini keteruskan lagi, kali ini kuselitkan sedikit impianmu. Hari itu, dek kerana sedikit kelapangan masaku, maka aku berkesempatan pulang menjengukmu ibu, tapi ibu.. kenapa kau utarakan aku satu permintaan yang mana mungkin bisa aku tunaikan dengan mudah ibu. Terngiang kejap ditelingaku ibu

"adik, ibu teringinkan cucu," kata ibu memulakan bicara.

"kawan-kawan umur macam ibu semua dah punya 2,3 orang cucu, tapi ibu sorang pun takda lagi" sambungmu lagi dengan wajah yang mengharap

"suruhla abang kahwin kalau ibu betul-betul inginkan cucu," jawabku..

tetapi ibu, sesuatu yang tak terjangka terlahir dari bibirmu.

"ibu mahu cucu dari anak perempuan ibu,"

Terkaku aku ibu, bukan sekali dua kau utarakan impianmu ibu, pertama kali aku mendengar, sangkaku kau hanya bergurau, tapi dari raut wajahmu aku tahu kau serius ibu, terpana jua seketika, apa benar itu impianmu ibu? Aduh, permintaanmu ini terlalu payah untukku tunaikan, jika kau minta aku belikan gelang emas,handphone baru, secepat mungkin aku usaha untuk dapatkan, tapi yang ini ibu, pelik, ibu mana mungkin aku mampu menunaikan impianmu secepat mungkin, sedangkan calonnya pun belum ku temui. Kadang-kadang ibu, pening juga aku, tapi ibu janganlah susah hati, insyaALLAH akan aku tunaikan hasratmu ibu, tapi aku tak mampu menjanjikan cepat atau lambatnya. Huhuhu.. Lagi satu ibu, bukan aku tak ingin tunaikan impianmu ibu, tapi aku takut ibu, andai aku punya keluarga sendiri, aku tiada masa untuk sentiasa disisimu ibu, mendengar bicaramu, celotehmu ibu.

Terlalu banyak inginku bicarakan di sini bondaku, tapi seolah ruang ini tidak mencukupi bahkan jika diberi seluruh ruang di dunia ini untuk ku coretkan liku-liku perjalananku 21 tahun bersama ibu, aku rasa ia tetap takkan mampu mencukupi.

Ibu,
Setiap helaan nafasku adalah untuk ibu, aku hidup dengan semangatmu yang sentiasa membara itu, aku nak jadi wanita sesolehah ibu, aku ingin contohi ibu, cekal dan tabah, punya impian yang besar tidak sepadan langsung dengan tubuh kecilmu itu. Tahu tak ibu, setiap langkah kakiku, setiap hala tujuku, setiap apa yang aku ingin lakukan, aku sentiasa ingat pesanan ibu, apa yang ibu tegah, takkan sekali-kali aku lakukan, sebab luka ibu, aku yang rasa sakitnya, kecewa ibu adalah hukumanku sepanjang hayat. Aku takkan benarkan air mata ibu tumpah kerana perbuatan ku, tapi kalau air mata ibu tumpah kerana kejayaanku, aku tak pernah menghalang, bahkan aku puas kerana berjaya menitiskan air mata gembiramu.


Ibuku,
Bait-bait bicaraku kini sudah sampai ke penghujungnya, aku belum puas meluahkan bicara hatiku, tapi apa dayaku masa mencemburuiku, aku perlu bergegas ke dewan peperiksaan, menjawab kertas ke-4 ku hari ini ibu. Sempena Hari Ibu yang bakal menjelang bulan ini ibu, ingin aku ucapkan padamu ibu

"SELAMAT HARI IBU" untuk ibu, wanita yang paling aku sayang dalam hayatku, dan nantikan kepulanganku, tapi ibu maaf ku pohon kerana aku mungkin tak mampu meraikan tepat pada masanya sebab tuntutan tugas mengekang hasratku. Adik sayangkan ibu, cintakan ibu dalam setiap helaan nafas ini, dalam setiap atur langkah kaki ini ibu.

Salam sayang dan rindu,
biar jarak masa,
dan tempat memisahkan kita,
tapi ibu sentiasa di hati ini,
selalu dalam jiwaku,
Bersatu dalam semangatku
Dari anak kecilmu

Nasuzu Najwa….

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

perjalanan kami.....

Daisypath Friendship tickers

kata2 nye utk ku

keikhlasan membentuk cinta!!!!

fatien>nasz...4rever lurve [n_~]

gaya kami berdua....

gaya kami berdua....